Tanggung Derita, Rozana Misbun Terima Ganti Rugi RM80,000 Dipukul Awie Wings

Bekas isteri Datuk Awie iaitu Rozana Misbun menderita fizikal dan emosi setelah dipukul oleh penyanyi kumpulan Wings itu empat tahun lalu. Namun ianya terbalas apabila beliau menerima ganti rugi berjumlah RM80,000 dalam saman sivil terhadap artis itu.

Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada 28 September lalu telah memerintah bayaran tersebut. RM80,000 itu termasuk ganti rugi am sebanyak RM30,000, ganti rugi teruk sebanyak RM50,000 dan kos sebanyak RM10,000 untuk dibayar oleh Awie kepada pihak Rozana.

Bekas isteri Awie itu diwakili oleh peguam Ahmad Fakhri Abu Samah sebagai peguam utama serta Azlan Abd Roni, Muhammad Azwar Ab Manab dan Nasyrah Ezzan Ali. Dikatakan Rozana Misbun telah membuat permohonan saman sivil terhadap Awie pada 4 Mei tahun lalu.

Peguam, Azlan Abd Roni menjelaskan bahawa saman sivil yang difailkan oleh Rozana adalah untuk perbuatan tort hentaman (battery) atau pukul yang telah dilakukan oleh Awie selaku defendan kes itu pada 2 Jun 2014 di beberapa kawasan termasuk di kaunter Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Saman sivil yang telah difailkan oleh Rozana bertujuan menuntut ganti rugi untuk kecederaan-kecederaan yang dialami olehnya. Antyara kecederaan ialah keretakan pada bahagian tulang rusuk ke sembilan dan ke sepuluh, lebam-lebam di bahagian muka, telinga kiri, leher bahagian kiri,lengan, ketiak, dada, bilateral periorbital dan hidung. Ada gambar kecederaan yang tersebar ketika kes ini menjadi viral tak lama dulu.

Selain itu, ianya turut mengambil kira penderitaan dialami Rozana antaranya luka, lebam, sakit, kesengsaraan dan kesukaran untuk bernafas termasuk kos rawatan di hospital. Selain itu, Rozana Misbun turut terpaksa menanggung malu ekoran kes berkenaan.

Diimbas kembali kes berkenaan, pada 4 Julai 2014, Awie, 50, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Rozana yang ketika itu isterinya di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 1.30 tengah hari, 2 Jun 2014 di Mahkamah Majistret Ampang.

Penyanyi itu turut sekali lagi didakwa dan telah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan Rozana di kaunter Permodalan Nasional Berhad Jalan Tun Razak di sini pada pukul 3 petang, 2 Jun 2014.

Kemudian, pada 7 Mac 2016,Awie dilepaskan daripada pertuduhan jenayah mencederakan Rozana Misbun oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas kedua-dua pihak bersetuju kes diselesaikan dengan cara membayar kompaun RM10,000 dan Awie membuat permohonan maaf.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here