“Selepas 6 tahun bergelar hos, sudah tiba masanya kami undur diri” – Neelofa, Nabil

Pasangan pengacara program MeleTop iaitu Neelofa dan Nabil Ahmad membuat kejutan apabila mengumumkan menarik diri daripada dicalonkan dalam Anugerah MeleTOP 2019 yang bakal berlangsung pada 21 April depan.

Ketua Strategi Kandungan Hiburan Astro, Raqim Ahmad telah mengesahkan hal berkenaan.

Kata Raqim lagi, keputusan itu dibuat secara sukarela oleh kedua-dua pengacara program MeleTOP itu bagi memberi ruang kepada rakan artis lain yang akan bertanding di kategori berkenaan.

Ini komen Raqim:

“AME2019 tahun ini memperlihatkan dua hos MeleTOP iaitu Neelofa dan Nabil Ahmad mengundurkan diri daripada semua kategori dipertandingkan pada tahun ini. Keputusan itu dibuat bagi memberi ruang kepada rakan artis lain dan ia dibuat secara sukarela oleh kedua-dua mereka,”

Raqim berkata sedemikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman senarai Top 5 AME2019 yang diadakan pada Selasa.

AME2019 yang mempertandingkan 16 kategori bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Neelofa dalam komen ringkasnya memberitahu keputusan itu dibuat bagi mengelakkan sebarang cakap-cakap kurang enak terhadap mereka memandangkan mereka juga hos program itu.

Ini komen Neelofa:

“Selepas enam tahun bergelar hos dan dicalonkan dalam AME rasanya sudah tiba masanya kami undur diri, kami akan fokus sebagai pengacara”

“Ini juga bagi mengelakkan isu, orang kata ia anugerah syok sendiri dan hanya tuan rumah yang menang,”

“Kami nak bagi neutral, jadi orang yang datang pun dapat enjoy dan celebrate AME”

Sekiranya tidak menarik diri, Nabil telah dicalonkan untuk kategori Hos MeleTOP manakala Neelofa menerusi Fesyen MeleTOP dan Hos MeleTOP.

Dengan keputusan itu, tempat mereka secara automatik diganti oleh calon yang mendapat undian tertinggi bagi kategori tersebut.

Sementara itu, walaupun kedua-dua mereka menarik diri daripada dicalonkan, Nabil dan Neelofa telah dipilih sebagai hos AME2019 bersama Jihan Muse.

Dalam perkembangan lain, senarai pencalonan AME2019 memperlihatkan Remy Ishak, Syafiq Kyle, Zizan Razak dan Fattah Amin mendominasi pencalonan akhir untuk tiga kategori individu.

Pelakon popular, Remy Ishak dan Syafiq Kyle bersaing sengit apabila dicalonkan dalam tiga kategori sama iaitu Fesyen MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP dan Pelakon TV MeleTOP.

Dua produk lakonan dari Remy Ishak iaitu Pulang dan Lelaki Kiriman Tuhan turut tercalon menerusi kategori Filem MeleTOP dan Drama MeleTOP.

Penyanyi tersohor iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza membuktikan dirinya terus unggul apabila tercalon dalam dua kategori iaitu Lagu MeleTOP dan Penyanyi MeleTOP bersama bintang baru nak naik seperti Sufian Suhaimi, Haqiem Rusli dan Khai Bahar.

Tema yang dipilih untuk AME2019 ialah Yang Legit, Yang Legend, dan bakal menampilkan persembahan daripada Ayda Jebat, Misha Omar, Hael Husaini, Andi Bernadee, Exists dan ramai lagi.

Jangan lupa Anugerah Meletop Era pada 21 April 2019 ini.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here