Jenazah Muhammad Haziq dikenal pasti melalui ujian DNA.. dah selamat dikebumikan

Allahyarham Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi, 17 tahun telah disahkan antara 50 mangsa terbunuh dalam tragedi tembakan oleh pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat minggu lalu.

Melalui laporan Kosmo, jenazah Haziq telah dikenal pasti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Jenazah Muhammad Haziq telah selamat dikebumikan pada pukul 12 tengah hari tadi waktu Malaysia (5 petang waktu New Zealand).

Wakil rasmi Malaysia ke New Zealand, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, buat masa ini, hanya butiran itu yang dimaklumkan kepada pihaknya berkaitan kematian remaja malang itu.

Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu, beliau akan bertemu dengan Kedutaan Malaysia di New Zealand bagi mendapatkan butiran penuh berhubung kematian Mohd. Haziq.

“Sebelum ini, kita hanya agak yang meninggal itu adakah Muhammad Haziq yang dikatakan lari (selepas insiden serangan) dan tak dapat dijumpai tetapi sebenarnya dia sepanjang masa ada di situ.

“Setelah dicam dengan DNA, maka memang telah pasti yang meninggal itu adalah Mohd. Haziq. Cuma butiran yang terjadi selama itu kami belum diberi maklumat apa-apa,”

Perkara ini diberitahu melalui satu sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Sementara itu, Mujahid berkata, lawatan rasminya ke Christchurch adalah bagi mewakili kerajaan Malaysia untuk bertemu pimpinan kerajaan New Zealand bagi mengucapkan takziah di atas peristiwa hitam itu selain merakam penghargaan terima kasih terhadap tindakan kerajaan New Zealand dalam mengendalikan mayat dan mangsa terlibat.

“Pada masa sama, saya akan melawat tempat kejadian dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Noor yang merupakan salah satu lokasi serangan. Saya juga akan menziarahi keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan itu,”

Sumber: KOSMO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here