Dua tahun tak pijak tanah setelah dijumpai selepas hilang 13 hari..

Asiah Noh (55 tahun) ibu kepada Muhamad Anuar Elias (36 tahun) yang pernah menggemparkan orang ramai apabila hilang 13 hari pada 27 November 2016 tampil memberi komen tentang keadaan anaknya ketika ini.

Muhamad Anuar hilang hampir dua minggu dan kemudian telah ditemui dalam keadaan merangkak dalam semak di tebing Sungai Terengganu di Kampung Losong Dato Amar, Kuala Terengganu, 8 Disember 2016.

Asiah berkata, anak sulungnya itu kini dah tak jejak kaki di atas tanah lagi.

Tambahnya, Anuar tidak memberitahu secara jelas kenapa dia dah tak mahu turun dari rumah dan jejak kaki di atas tanah sehingga kini.

Ini komen ibunya:

“Sejak ditemui selepas hilang 13 hari, dia tidak pernah memijak tanah dan cuma duduk (berada) atas rumah saja. Dia masih sihat dan berkelakuan seperti orang normal, cuma tak mahu pijak tanah,”

Misteri kehilangan Muhamad Anuar terungkai apabila dia ditemui dalam keadaan merangkak dalam semak berhampiran pokok rengas di tebing Sungai Terengganu di Kampung Losong Dato Amar, hampir dua minggu selepas dilaporkan hilang ketika menjala udang di sungai berkenaan.

Lelaki itu ditemui rakan baiknya Hamdan Mat Daud (38 tahun) selepas dia terdengar suara mangsa meminta tolong jam 7.40 malam pada 8 Disember 2016.

Muhamad Anuar berkata, sejak kejadian itu, dia mempunyai perasaan ingin bersendirian dan tidak mahu memijak tanah.

Ini pula komen tuan punya badan tentang kenapa dia tak nak jejak tanah:

“Sukar nak terangkan, tapi saya berasa ingin berada dalam rumah saja, tak ingin berjumpa orang lain. Paling jauh pun saya duduk di tangga rumah untuk gunting rambut,”

Ditanya mengenai kejadian misteri itu, Muhamad Anuar berkata, mulanya dia terdengar suara memanggil namanya dan sebaik sampai di pokok cengal itu, dia nampak cahaya seperti kunang-kunang.

“Ketika hilang dulu, saya macam tak ingat apa-apa, cuma bila terdengar suara rakan memanggil nama barulah saya seperti tersedar. Terkejut bila diberitahu saya hilang 13 hari sebab saya cuma rasa seperti sehari saja”

Sementara itu, orang yang menjumpai Anuar iaitu Hamdan berkata, kejadian yang menimpa Muhamad Anuar ada persamaan dengan kehilangan Mohamad Ashraf Hasan, (29 tahun).

Ashraf yang lebih mesra disapa dengan nama Acap, telah hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di kawasan Gua Tempurung, Gopeng, Perak, sejak lebih dua minggu lalu.

Ini pula komen Hamdan:

“Cuma saya harap, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak berputus asa. Ketika mencari (Muhamad) Anuar dulu, ramai juga yang seperti putus asa, tapi saya tetap bersemangat dan yakin dia ditemui.

“Mungkin berkat amalan membaca surah Al-Fatihah dan tiga ‘Qul’ yang diajarkan seorang tua di kampung ini, membawa kepada penemuan itu,”

Semoga Acap dijumpai kelak.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here