Amy Search Harap Wanita Itu Ditangkap Segera!

Penyanyi berstatus legenda, Amy Search mengatakan, dia menyebarkan kisah penipuan baru-baru ini kerana berasakan dirinya bertanggungjawab untuk menyebarkan maklumat tentang pemburuan untuk menahan wanita yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penipuan wang.

Amy Search mendakwa, wanita berkenaan menipu mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada kalangan penduduk luar bandar, termasuk beberapa rakannya sendiri. Kata Amy wanita tersebut mewujudkan satu skim pelaburan palsu.

Ini komen Amy Search:

“Dia dan rakannya mengadakan skim penipuan, kononnya dengan pelaburan RM1,000 boleh mendapat pulangan RM1 juta. Beberapa kawan saya sudah terkena.

“Mereka kini terus menjalankan aktiviti penipuan berkenaan di kampung. Wanita ini ternyata sangat licik. Dia pandai menggunakan dokumen dan segala surat menyurat untuk menampakkan pelaburan itu benar-benar wujud.

“Saya juga pernah terkena dengan penipuan lebih kurang sama, sebelum ini. Jadi, menjadi tanggungjawab saya untuk menyebarkan perkara ini agar penipuan dapat dihentikan dan wanita itu segera ditangkap”

“Sejak dulu lagi memang sudah wujud skim penipuan wang, cuma konsepnya sahaja berbeza. Ingatlah, kalau ada orang yang datang dengan tawaran pulangan wang yang lumayan, jangan percaya!

“Lebih baik buat pelaburan bersama Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Walaupun pulangannya tidak sebesar apa dijanjikan oleh skim penipuan, tetapi ia terjamin.

“Sama juga dengan pelaburan emas. Jangan kita membeli sesuatu begitu sahaja daripada sebarangan pihak. Pergilah ke saluran yang betul. Ada beberapa bank yang menawarkan pelaburan emas”

Amy yang kini sudah berumur 60 tahun ada menyebarkan beberapa foto melalui Instagram Story mendedahkan wajah wanita terbabit yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penipuan wang. Penyanyi itu turut berharap agar wanita terbabit segera ditangkap.

Penyanyi ini berpesan kepada orang ramai agar sentiasa lebih berhati-hati dengan pelbagai bentuk penipuan, terutamanya berkaitan pelaburan wang yang menjanjikan keuntungan besar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here