Titah Tengku Permaisuri Norashikin: Puas Hati Pembunuh Kucing Dipenjara

Tengku Permaisuri Selangor iaitu Tengku Permaisuri Norashikin antara pencinta haiwan yang amat sedih apabila mengetahui kes kucing disumbat ke dalam mesin pengering dobi.

Kini Tengku Permaisuri Norashikin berasa amat lega dan puas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang pada Khamis, yang telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap individu yang terlibat melakukan kekejaman terhadap kucing itu.

Baginda yang juga merupakan Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor, bagaimanapun dalam masa yang sama turut berasa amat dukacita dan sedih kerana masih berlaku beberapa insiden yang melibatkan kekejaman terhadap haiwan antaranya seperti anak kucing dipijak sehingga mati, serta perbuatan meracun dan membakar anjing.

Ini kenyataan penuh dari Tengku Permaisuri Norashikin:

TITAH DYMM TENGKU PERMAISURI SELANGOR TENGKU PERMAISURI NORASHIKIN BERHUBUNG HUKUMAN YANG DIJATUHKAN TERHADAP PESALAH LAKU KEKEJAMAN KE ATAS KUCING.

“Saya berasa amat lega dan berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap pesalah laku yang membabitkan kekejaman terhadap kucing, yang berlaku di sebuah dobi layan diri pada 11 September 2018.

“Dalam pada itu, saya berasa amat dukacita dan sedih kerana masih lagi berlaku beberapa insiden yang melibatkan kekejaman terhadap haiwan termasuk kes seekor anak kucing yang dipijak sehingga mati, serta kes meracun dan membakar anjing.

“Akta Kebajikan Haiwan 2015 telah jelas memperuntukkan bahawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan/atau penjara sehingga 3 tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan.

“Saya memohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyemai sifat kasih sayang dan belas kasihan terhadap haiwan-haiwan yang terbiar di jalanan ini yang tidak mampu untuk mempertahankan diri mereka sendiri.

“Saya juga menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan majlis-majlis perbandaran di seluruh Selangor dan Malaysia supaya mengambil tindakan pro-aktif dalam mempromosikan ‘Caring and Compassionate Communities’ menerusi Pendidikan Perikemanusian bagi Pemilikan Haiwan Peliharaan Secara Berhemah dan Bertanggungjawab. Ini termasuk menyebar luaskan inisiatif mengkasi atau pemandulan serta membina pusat perlindungan bagi menjaga haiwan-haiwan terbiar yang masih sihat dan tidak agresif ini.

“Sebagai Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor The Humane and Compassionate Way bersama SPCA Selangor, saya mengalu-alukan usaha-usaha yang dijalankan di bawah kempen Stray Free Selangor ini, dan menggesa pihak berkuasa terlibat agar bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat yang prihatin, ke arah membanteras sebarang bentuk perlakuan kejam terhadap haiwan.”

DYMM Tengku Permaisuri Selangor

Baginda turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara agar mengambil tindakan pro-aktif dalam mempromosikan ‘Caring and Compassionate Communities’ menerusi pendidikan perikemanusian bagi pemilikan haiwan peliharaan secara berhemah dan bertanggungjawab.

Sebelum ini, telah viral satu rakaman kamera litar tertutup menunjukkan kekejaman tiga individu yang membunuh kucing dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering berkenaan.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu teksi A. Mohanraj, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes hari ini.

Sumber – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here