Selepas 20 hari hilang, keluarga isteri Acap tampil beri kenyataan.. Dedah keadaan rumah tangga Acap

Kini dah 20 hari kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan atau Acap. Setelah sekian lama, akhirnya keluarga isteri kepada Acap tampil meluahkan perasaan mereka.

Kehilangan Acap menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk terdapat dakwaan kononnya Acap ada masalah rumah tangga.

Acap yang bekerja sebagai Juruteknologi Makmal, Klinik Kesihatan Muar, Johor sebenarnya mempunyai perkahwinan yang bahagia.

Perkara ini dikatakan sendiri oleh abang ipar Acap, Abdul Halim Mohamad Ramli.

Abang kepada isteri Acap itu berkata, rumah tangga adiknya, Hamiza dan Acap tiada masalah dan mereka adalah pasangan yang saling mencintai tidak seperti khabar angin mengatakan mereka bergaduh dan sebagainya.

Ini kenyataan abang ipar Acap (abang kepada isteri Acap):

“Bagi saya mereka ini ‘loving couple’ dan langsung tiada masalah malah pada hari program larian itu diadakan mereka merancang ke taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) selepas tamat larian namun Acap tidak dapat cuti panjang susulan cuti dibekukan berikutan isu Sungai Kim Kim di Johor, jadi tak dapatlah mereka ke sana”

Abdul Halim berkata, hubungan kedua-dua keluarga juga sangat rapat dan Acap walaupun ada rumah sendiri tetapi kerap tinggal di rumah ibu mentuanya di Muar.

Menurutnya, ketika ini isteri dan anak Acap berada di rumahnya di Sungai Buloh, Selangor dan mereka setiap hari bergilir-gilir berulang-alik ke Gopeng bagi melakukan pencarian.

Ditanya tentang adiknya (isteri Acap) yang enggan ditemubual, Abdul Halim berkata, adiknya itu mungkin berada dalam keadaan terkejut dengan kehilangan suaminya.

Ini komen Abdul Halim lagi:

“Hamiza bersama ahli keluarga yang lain memang sentiasa tidak henti berzikir dan melakukan solat hajat sepanjang pencarian.

“Gerak hati adik saya juga kuat mengatakan tidak berlaku apa-apa pada suaminya dan kami mengharapkan sesuatu yang positif kelak” 

Abdul Halim berkata, dakwaan mengatakan Acap pernah beberapa kali hilang sebelum ini juga tidak benar dan berharap orang ramai menghentikan berita tidak benar hingga boleh mengganggu emosi keluarga.

Selain itu, Abdul Halim juga setuju dengan saranan dari Mufti Wilayah Persekutuan.

“Ahli keluarga bersetuju dengan pesanan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri yang sangat tepat dengan apa yang terbuku dalam hati kami.

“Mufti ada berpesan suruh mencari mengikut kaedah Syariah (usaha mencari) kerana memang itu yang sebenarnya terbuku di hati kami, sebab kita tidak mahu bercampur-campur (syirik).

“Antara sebab kami tak tinggal lama di lokasi kerana pada hari keempat ada pelbagai dakwaan, bomoh punya firasatlah.. kadang-kadang ia mengarut, itupun salah satu sebab saya tidak mahu bersubahat benda itu”

Menurutnya, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan rakyat Malaysia yang terbabit dalam usaha pencarian Acap.

“Kami berharap masyarakat terus mendoakan adik ipar saya ditemui selamat,”

Itulah komen dari pihak keluarga isteri Acap.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here