Pengawal keselamatan dalam keadaan trauma, nak saman pelawak yang pukulnya..

Pak guard atau pengawal keselamatan, Yahya Manap mungkin akan mengambil tindakan saman terhadap pelawak yang membelasah dan menendangnya dalam kejadian pergaduhan di Taman Acacia di Nilai, Negeri Sembilan.

Yahya yang lebih mesra disapa Pak Ya berkata, perbuatan artis lelaki terbabit bukan sahaja menyebabkan kecederaan pada mukanya, tetapi dia turut mengalami trauma.

Menurutnya, dia diberi cuti sakit selama tiga hari oleh pihak Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) kerana kecederaan dialaminya itu.

Ini komen Pak Ya yang kini sudah berumur 70an:

“Sehingga hari ini, badan saya masih berasa sakit dan pening kepala kerana sukar tidur. Pemikiran saya kusut dan tidak dapat berfikir dengan baik.

“Saya hanya berehat dan makan ubat. Mujur ada isteri dan anak yang menjaga saya di rumah”

Yahya berkata, dia akan mendapatkan rawatan susulan sekiranya keadaan kesihatannya tidak menunjukkan perubahan.

Ditanya sama ada artis lelaki terbabit atau wakil ada menghubunginya untuk meminta maaf, Yahya berkata, dia tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada pihak berkenaan.

Ini jelas Pak Ya lagi:

“Beri saya masa untuk rehat dan tenangkan fikiran dahulu. Saya belum bersedia jumpa dia.

“Perbuatan dia (pelawak) saya boleh maafkan, tapi kesan akibat perbuatannya itu masih terasa sehingga hari ini. Saya mungkin akan ambil tindakan saman tapi bergantung kepada keputusan keluarga”

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam kelmarin, Pak Ya cedera pada hidung dan bengkak di muka serta sakit di pinggang serta lutut akibat dipukul pelawak berkenaan.

Pergaduhan berlaku kerana pelawak itu tidak puas hati selepas tidak dapat keluar daripada kawasan perumahan berkenaan berikutan palang keselamatan ditutup.

Sebelum itu, lelaki terbabit dikatakan mengekori sebuah kenderaan lain masuk tanpa kebenaran menyebabkan Pak Ya yang bertugas mengekori lelaki itu memintanya membuat pendaftaran, tetapi sebaliknya berlaku apabila dia dibelasah dan ditendang serta dibaling batu.

Kes ini kini sedang disiasat pihak polis.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here