Pemimpin Pakatan Terkejut Dengan Tindakan Nurul Izzah Letak Jawatan

Anak kepada Anwar Ibrahim iaitu Nurul Izzah telah membuat keputusan drastik apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan mengundurkan diri daripada perlantikannya sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang.

Nurul Izzah berkata, keputusan itu sudah pun dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi PKR dan ketika ini Nurul Izzah hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti PKR.

“Saya juga tidak akan memegang sebarang jawatan dalam Kerajaan Pusat dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan peranan saya di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerajaan Pulau Pinang.

“Selepas ini, saya hanya akan menjadi Ahli Parlimen yang tidak mempunyai sebarang portfolio dalan usaha untuk mereformasi kerajaan.

“Saya juga menyerahkan kepada kepemimpinan parti berhubung status saya sebagai Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),”

Ternyata keputusan Nurul Izzah Anwar untuk meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR dan ketua PKR Pulau Pinang nerlaku secara tiba-tiba sehingga ia mengejutkan pemimpin Pakatan Harapan yang lain, termasuk rakan daripada parti itu sendiri.

Pengerusi Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak tahu kenapa Ahli Parlimen Permatang Pauh melepaskan jawatan dalam partinya, tetapi percaya bahawa Nuruk Izzah mempunyai alasan yang baik untuk berbuat demikian.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku di PKR,” kata Tun Mahathir.

Nurul Izzah turut menunjukkan kekecewaannya di Twitter apabila Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, seorang ahli politik Pakatan mencadangkan dia menarik balik peletakan jawatannya supaya beliau dapat terus membantu melakukan reformasi secara holistik.

Rais Hussin juga berkata bahawa beliau percaya bahawa Nurul Izzah akan bangkit lebih kuat.

Nurul Izzah membalas kepada tweet tersebut sehingga ia menjadi tular: “Mohon jangan memberi komen bagi pihak saya @raishussin”.

Untuk pengetahun, Rais Hussin merupakan ketua strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali berkata beliau akan berbincang dengan Nurul Izzah untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku.

Naib Presiden PKR Tian Chua pula berkata beliau menyokong keputusan ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here