“Menyesal tak penuhi permintaannya” Adira terkilan tak guna masa sebaiknya dengan arwah ayah

Agak sukar buat penyanyi, Adira Suhaimi untuk meluahkan perasaan yang dialami dalam diri selepas ayahnya, Suhaimi Rajiman, 57 tahun, meninggal dunia pada 21 Mac yang lepas.

Adira, 28 tahun, akui sebenarnya dia agak terkilan kerana tidak sempat untuk melakukan beberapa perkara yang pernah dijanjikan kepada ayahnya.

Katanya, timbul sedikit perasaan kesal dalam diri memandangkan masa yang ada selama ini tidak digunakan sebaik mungkin bersama ayahnya.

Ini komen Adira:

“Hubungan saya dengan arwah ayah tidak rapat. Hal ini kerana, ibu dan ayah mengambil keputusan untuk berpisah ketika saya masih dalam kandungan lagi. Justeru, saya memang jarang dapat meluangkan masa bersamanya.

“Selepas ayah sudah tiada, sudah tentu saya berasa sedih. Lebih-lebih lagi mengenangkan kembali perkara-perkara yang tidak sempat dilakukan bersama ayah. Antaranya, saya tidak pernah beraya dengannya walaupun sekali,”

Adira yang agak sedih ketika berbicara tentang arwah ayahnya berkata, arwah juga tidak berkesempatan untuk bertemu dengan anak-anaknya iaitu Anggerik dan Assan.

Ini komen Adira lagi:

“Disebabkan saya sudah berumah tangga dan ayah pula tinggal jauh di Johor, saya memang tidak berkesempatan bertemu dengannya. Dia juga pernah menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan cucu-cucunya, tetapi tidak kesampaian.

“Saya agak menyesal kerana tidak dapat memenuhi permintaannya. Namun, apa yang pasti, saya akan sentiasa mendoakan kesejahteraannya di sana,”

Belum sempat kesedihan pemergian ayahnya reda, tiba-tiba Adira diuji sekali lagi apabila neneknya pula pergi buat selamanya.

“Ketika itu, saya berasa sangat-sangat sedih dan terkejut, lebih-lebih lagi dalam keadaan saya yang sedang sarat mengandung tujuh bulan. Disebabkan hal tersebut, saya berasa sangat sensitif apabila diajukan dengan soalan seperti ini.

“Justeru, apa yang boleh saya katakan adalah sentiasa mencari peluang dan waktu untuk bertemu orang tua. Lebih-lebih lagi jika mereka tidak duduk sebumbung dengan kita,”

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here