“Ini bukan majlis anugerah sekolah menengah yang boleh diubah sesuka hati” – Ahmad Idham

Isu di Festival Filem Malaysia FFM30 nampaknya telah timbul melibatkan penyampai anugerah di malam berkenaan.

Kemunculan Fattah Amin bersama Nur Fazura di atas pentas ketika penyampaian trofi Anugerah Khas Juri menjadi buah mulut dan dikatakan ia adalah sebuah elemen kejutan dalam Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) lalu.

Pihak Universal Music yang mewakili Fazura telah membuat kenyataan bahawa Fazura tak ada memberi syarat untuk bawa Fattah ke atas pentas dan meminta Astro menjelaskan hal berkenaan.

“Fazura tidak pernah bertegas apa lagi memberi kata dua kepada pihak produksi, Astro atau FFM sendiri untuk membawa bersama Fattah ke pentas dan menyampaikan anugerah tersebut sehingga membelakangkan dua rakan penyampai lain iaitu Hans Isaac dan Maya Karin”

“Jika mengikut perancangan yang telah diatur oleh pihak Astro, Fattah sepatutnya menjadi penyampai untuk anugerah lain, tetapi ia ditukar pada saat akhir.

“Sebagai tetamu, Fazura dan Fattah hanya menjalankan tanggungjawab dan memberi kerjasama sebaiknya buat seluruh produksi demi kelancaran majlis”

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, iaitu Ahmad Idham Ahmad Nadzri akhirnya telah bersuara tentang isu ini.

Ahmad Idham menjawab kenyataan media dikeluarkan Universal Music (Malaysia) hari ini.

Ini komen Ahmad Idham:

“ASTRO tidak pernah berbincang apa-apa dengan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) perihal kejutan ini,”

“Saya sudah memeriksa dengan jawatankuasa FINAS dan FFM30, tiada persetujuan mengenai Fattah dan Fazura naik bersama untuk menyampaikan anugerah.

“Saya juga difahamkan ramai penggiat seni termasuk wartawan tidak bersetuju dengan tindakan menaikkan Fattah, ia seolah-olah tidak menghormati agenda majlis nasional seperti ini”

Apatah lagi, kesemua penyampai pada malam itu adalah mereka yang sudah pun dinobatkan dalam pelbagai kategori FFM sebelum ini.

Oleh itu, Ahmad Idham meminta pihak Astro untuk memberi surat tunjuk sebab sekali gus bertanggungjawab ke atas tindakan yang disifatkan tidak wajar berlaku dalam sejarah FFM.

“Pihak produksi tidak menghormati FINAS walhal kami yang membayar kos produksi pada malam itu.

“Ini bukan majlis anugerah sekolah menengah yang boleh diubah sesuka hati”

Ahmad Idham juga menyeru Datuk Hans Isaac dan Fazura supaya tidak perlu bersengketa hinggalah laporan lengkap daripada Astro diterima FINAS.

Katanya, persengketaan itu tidak sihat untuk industri apatah lagi mereka mungkin sekadar mangsa permainan pihak tertentu yang mencari publisiti murahan.

Sumber: HMetro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here