Doktor pakar Indonesia malu didakwa melatih doula.. Kak Yat dituntut minta maaf!

Kenyataan yang keluar dari mulut doula bernama Hayati Muzaffar (kak Yat) ketika di rancangan Analisis yang mendakwa mendapat latihan dari seorang doktor di Indonesia telah menimbulkan rasa kurang enak di kalangan pengamal perubatan negara jiran itu.

Semasa program bual bicara Analisis yang disiarkan menerusi stesen TV Al-Hijrah, Jumaat malam yang lalu, Kak Yat memberitahu dia mendapat latihan menjadi doula daripada seorang doktor pakar di bahagian kecemasan di Indonesia kira-kira tujuh tahun lalu.

Ini komen Kak Yat:

“Pertama kali masa saya dilatih menjadi doula pada 2012 dibawah pimpinan seorang doktor bekerja di Jakarta sebagai doktor pakar kecemasan.

“Dia ada studio yoga. Jadi dia ajar di dalam studio yoga untuk jadi penyokong emosi,”

Presiden Persatuan Toksikologi Indonesia, Dr Tri Maharani telah tampil menafikan sekeras-kerasnya kenyataan dari doula Hayati itu. Namun Dr Tri menyangkal dakwaan bahawa terdapat pakar kecemasan di negara itu memilki studio yoga.

Ini komennya:

“Seramai 58 pakar kecemasan Indonesia tidak ada praktik di rumah dan buka studio yoga. Saya pasti itu bukan pakar kecemasan. Mungkin doktor biasa atau GP atau doktor palsu.

“Jadi saya memerlukan nama doktor yang dimaksudkan untuk saya buat laporan kepada Kementerian Kesihatan dan Persatuan Doktor Indonesia,”

Kata doktor ini, dia pun tak setuju dengan is melibatkan doula dan terkejut doula Hayati kaitkan doula dengan doktor kecemasan di negara Indonesia.

Ini kenyataan dari doktor berkenaan tentang kenyataan kak Yat:

“Wah menakutkan sekali. Saya kira itu tidak benar. Saya pasti tidak ada seorang pun pakar kecemasan yang akan melakukannya.

“Saya sangat terkejut apabila ada pakar kecemasan dikaitkan dengan amalan itu. Tentu sahaja kami tidak setuju,”

Menurut Dr Tri, kerajaan Indonesia sendiri tidak mengiktraf peranan doula di negara tersebut.

“Di sini tidak boleh guna doula. Kalau pun ada di desa terpencil yang tiada doktor atau bidan. Itu pun kerana terpaksa.

“Namun masyarakat Indonesia ada program Klinik Ibu dan Anak (KIA) dan semua ibu harus berdaftar dengan puskesmas (klinik kesihatan) atau hospital mini di setiap daerah,”

Jelas Dr Tri yang berkhidmat sebagai pakar kecemasan selama lapan tahun, mereka tidak sesekali akan meminta doula untuk membantu proses menyambut kelahiran bayi.

“Ya pasti tidak ada. Ini kerana program KIA sangat ketat. Kalau ada kematian ibu melahirkan maka doktor dan bidan akan dihadapkan ke jawatankuasa perubatan.

“Malah doktor dan bidan juga boleh dipenjarakan kalau bersalah. Jadi kami sangat takut. Angka kematian ibu hamil dan melahirkan tinggi, jadi strategi ini dilaksanakan sejak 30 tahun lalu,”

Oleh itu, Dr Tri menggesa Hayati supaya membuat permohonan maaf kepada pakar perubatan kecemasan di Indonesia.

“Dia harus minta maaf. Kenyataan dia membuatkan kami semua malu. Pakar kecemasan di seluruh Indonesia tidak ramai, hanya ada 58 orang kesemuanya.

“Jadi saya kenal dan tahu semua. Tapi kalau (individu) mengaku pakar atau pakar kecemasan palsu mungkin ada. Jika Doktor Perubatan Am (GP) atau doktor mengaku pakar kecemasan itu soal lain. Saya yakin bukan pakar kecemasan,”

Isu doula telah dibincangkan menerusi program Analisis,di TV ALHIJRAH dan mendapat sambutan hangat oleh rakyat Malaysia.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here