Datuk Hans Isaac terkejut mesej didedahkan, tak akan mohon maaf kepada Fazura

Datuk Hans Isaac terkejut apabila mesej yang dihantar secara peribadi kepada pelakon Fazura diketahui umum.

Dari laporan Kosmo, Hans Isaac dikatakan tidak akan memohon maaf seperti yang diminta oleh Fazura di atas dakwaan bahawa aktor tersebut telah mencemarkan nama baiknya berkenaan isu meletakkan syarat untuk menyampaikan anugerah sewaktu Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) Sabtu lalu.

Ini komen Hans Isaac:

“Saya tidak pernah membuat kenyataan secara terbuka tentang situasi yang berlaku pada malam FFM30 dan hanya menghantar mesej peribadi kepada Fazura selepas majlis tamat. Apa yang dilaporkan oleh media bukan dari pihak saya”

Hans juga terkejut apabila isu mesej peribadinya telah diketahui umum.

“Terkejut juga bila dapat tahu mesej yang sepatutnya antara saya dan Fazura boleh diketahui umum. Sedangkan ia adalah mesej peribadi.

“Saya akui memang ada meluahkan rasa kecewa tu tapi kalau betul kemunculan Fattah sebagai penyampai anugerah tu tak ada kena mengena, dia boleh jelaskan kepada saya, bukan dengan mengeluarkan kenyataan kepada media.

“Saya akan minta maaf kepada dia kalau betul-betul salah, tapi itulah seperti yang saya katakan sepatutnya ia antara saya dan Fazura bukan untuk pengetahuan umum”

Hans diminta mengulas mengenai kenyataan Fazura meminta dia membuat permohonan maaf atas tuduhan mendakwa gandingan aktres itu bersama suami sebagai penyampai anugerah merupakan pemintaan peribadi.

Fazura tampil menjelaskan dia tidak pernah meletakkan syarat untuk menjadi penyampai anugerah dengan bergandingan bersama Fattah seperti yang didakwa.

Isteri kepada Fattah Amin itu turut mendedahkan dia ada menerima mesej daripada Hans yang berasa kecewa atas apa yang berlaku.

Sementara itu, Hans Isaac menjelaskan pelakon Maya Karin yang menjadi panyampai anugerah bersama turut terkejut dengan kehadiran mengejut Fattah Amin pada slot penyampaian anugerah tersebut.

Hans menyatakan, mereka juga tidak diberitahu oleh pihak produksi atau pihak penganjur acara itu mengenai kehadiran Fattah sebagai penyampai anugerah.

“Bukan saya seorang sahaja yang terkejut tiba-tiba Fattah ada sekali atas pentas untuk jadi penyampai anugerah, tapi Maya pun sama juga.

“Sebab kalau nak ikutkan hanya saya, Maya dan Fazura. Setahu saya juga hanya pemenang anugerah sahaja yang boleh boleh menjadi penyampai anugerah.

FFM30 yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu diadakan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Sabtu lalu.

Sumber: mStar / Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here