Darjah Kebesaran Negeri Sembilan Kepada Datuk Seri Najib Dan Datin Rosmah Mansur Ditarik Balik

Mesyuarat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sembilan hari ini telah membuat keputusan iaitu pengurniaan darjah kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Perkara ini diumumkan oleh Pendaftar Darjah, Dr Razali Ab Malik menerusi satu kenyataan. Dr Razali berkata ia membabitkan pengurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) kepada Najib pada tahun 2005 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.5 bertarikh 2 Mac 2006.

Kata Dr Razali lagi, mesyuarat yang diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah itu juga memutuskan untuk menarik balik Darjah Seri Paduka Tuanku Ja’afar Yang Amat Terpuji (S.P.T.J) yang dikurniakan kepada Rosmah pada tahun 2006 mengikut Warta Kerajaan Jilid 59 No.23 Tambahan 1 bertarikh 9 Nov 2006.

“Keputusan ini bertujuan menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan,” jelas Dr Razali apabila ditaya tentang hal ini.

Sebelum ini, pada bulan Jun yang lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh mendedahkan nilai barangan kemas dirampas mencecah RM440 juta.

Ini termasuk 1,400 utas rantai, 2,200 bentuk cincin, 2,100 bentuk gelang, 2,800 pasang subang, 1,600 bentuk kerongsang dan 14 tiara.

Selain itu, pihak polis turut merampas 567 beg tangan bernilai lebih RM51.3 juta, serta 423 jam dan 234 cermin mata hitam, masing-masing bernilai RM79 juta dan RM374,000.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here