Dakwaan Tipu Ejen, Ini Kenyataan Fattah Amin

Pelakon popular tanah air, Fattah Amin berasa amat terkejut dengan satu tuduhan ke atasnya kononnya dia telah menipu ejen-ejen untuk sebuah produk makanan kesihatan yang didaftarkan bawah sebuah syarikat.

Menerusi satu kenyataaan media yang dikeluarkan oleh pihak pengurusannya iaitu Universal Music Malaysia, suami kepada Nur Fazura ini telah tampil menjelaskan dia tidak akan sesekali menipu peminat dan sedang berusaha mencari penyelesaian terhadap isu ini.

“Saya terkejut dengan tuduhan ini. Saya tidak akan menipu peminat dan penyokong saya dengan mempromosikan sesuatu yang saya sendiri tidak percaya.

“Saya sedang bekerjasama dengan Universal Music untuk menyelesaikan masalah ini. Sebarang kenyataan rasmi tentang isu ini, akan saya berikan melalui pihak pengurusan,”

Pihak pengurusan bersama pihak peguam akan memantau isu berkenaan yang menajdi bualan ramai setelah tersebar di media sosial.

Ianya bermula apabila ada satu kiriman e-mel daripada salah seorang ejen sebuah syarikat dengan mendakwa, pihaknya sudah banyak melaburkan wang tetapi produk tidak terjual kerana Fattah Amin dikatakan tidak lagi mengambil inisiatif untuk mempromosikan produk berkenaan seperti sebelum ini.

Pengirim e-mel tersebut juga mendakwa, ada yang sanggup bergolok gadai untuk melabur dalam perniagaan tersebut kerana mempercayai kredibiliti yang di bawa oleh Fattah Amin.

Sementara itu, wakil pengurusan bersama peguam dari pihak Fattah Amin akan memantau dan berusaha menyelesaikan isu berbangkit dan beberapa klien lain yang telah menandatangi kontrak dengan bekas pihak pengurusan Fattah Amin sebelum ini.

Malah, mereka juga memandang serius tentang beberapa urusan yang dilakukan tanpa kontrak rasmi atau dalam pengetahuan pihak peguam.

“Pihak kami memandang serius tentang beberapa urusan yang dilakukan tanpa kontrak rasmi dan akan terus memantau dan berusaha menyelesaikan isu ini,”

Apapun semoga hal ini akan diselesaikan dengan cara baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here