Berhenti sekolah selepas kena histeria, budak 12 tahun cipta aplikasi permainan komputer

Seorang budak lelaki berusia 12 tahun menajdi viral di laman media sosial kerana kebolehannya menghasilkan pengekodan permainan komputer. Malah yang lebih mengagumkan ilmu kod tersebut hanya dipelajari sendiri melalui internet.

Budak berkenaan bernama Muhammad Thaqif Syahiran Jamzuri yang berasal dari Jengka, Pahang dan dia telah mendapat perhatian selepas memuat naik posting tentang kehilangan aplikasi dan data permainan komputer yang dihasilkannya. Kata Thaqif data berkenaan telah dipadam oleh pemilik pusat siber.

Rata-rata netizen berasa kagum dan bangga dengan semangat yang dimiliki oleh Muhammad Thaqif Syahiran walapun dia telah berhenti sekolah.

Ibunya, Rafiah Adam, 44, berkata, anak sulungnya itu berhenti sekolah pada awal Mac lalu kerana diserang histeria dan gangguan lain, namun ia tidak melunturkan semangatnya untuk meneruskan minat dalam bidang pengekodan.

Ini kata ibunya:

“Saya selalu pantau dan teman dia pergi Pusat Internet 1Malaysia untuk menyiapkan ‘game’ dia tu. Di situ lebih mudah untuk dia dapatkan kemudahan internet dan belajar cara-cara nak buat ‘coding’ melalui video di YouTube”

Tentang keadaan anaknya yang menyebabkan dia terpaksa berhenti sekolah, kata ibu berkenaan, dia telah membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital, namun doktor tidak dapat menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku ke atas Muhammad Thaqif Syahiran.

“Anak saya mudah mengalami tekanan dan tak boleh kalau orang bercakap kasar dengan dia. Kami sekeluarga nak tengok kesihatan dia kembali macam dulu dan boleh kembali bersekolah seperti biasa”

Sementara itu, Muhammad Thaqif Syahiran memberitahu, dia berasa terkejut dan terharu apabila ada pihak yang sudi menyumbangkan sebuah komputer terpakai kepadanya bagi menyiapkan aplikasi permainan komputer berkenaan.

“Semalam, seorang ustaz dan beberapa orang kawannya datang dari Kuala Krau dan hantar komputer kepada saya lepas ramai yang kongsi mengenai cerita saya di Facebook. Dia ucap tahniah dan pesan supaya saya belajar sungguh-sungguh serta jangan putus asa”

Minat Thaqif dalam bidang pengekodan bermula sejak dua tahun lalu selepas menonton cara-cara menghasilkan permainan komputer di YouTube. Kini Thaqif akan membangunkan semula aplikasinya.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here